Amaran PAS: Jangan bergurau guna tarikh 13 Mei

Oleh Syed Mu’az Syed Putra (Malaysian Insider)

KUALA LUMPUR, 13 Mei — PAS memberi amaran kepada semua pihak termasuk Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) supaya jangan sesekali “bergurau” berhubung tarikh 13 Mei kerana peristiwa berdarah itu sangat sensitif.

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata tindakan memilih tarikh 13 Mei untuk membangkitkan kesedaran orang Melayu dan mengenang peristiwa berdarah 13 Mei itu adalah satu sentimen perkauman yang sempit.

“Hari ini Gertak memberitahu bahawa tarikh 13 Mei dipilih kerana hanya ketika itu bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai masa lapang untuk hadir.

“Alasan tersebut tidak boleh diterima dan saya rasa rakyat Malaysia juga mempunyai pendapat sama,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Perhimpunan “Melayu Bangkit” anjuran Gertak, yang dijadual berlangsung hari ini ditangguhkan, dipercayai ekoran tekanan daripada pelbagai pihak khususnya PAS.

Pihak penganjur berkata ia ditangguhkan selepas mendapat arahan Institut Integriti Terengganu (IIT) kerana melibatkan isu keselamatan negara.

Pengerusi Gertak, Razali Idris berkata IIT telah menasihatkan supaya perhimpunan tersebut ditangguhkan.

“Saya mendapat arahan tersebut kira-kira pukul 2 petang tadi yang meminta supaya perhimpunan ini ditangguhkan atas sebab keselamatan negara.

“Jadi kita terpaksa akur dengan arahan tersebut dan pada masa sama menghindari daripada fitnah yang dilemparkan sebelum ini,” katanya.

Salahuddin berkata PAS tidak menghalang untuk mengadakan perbincangan yang memberi sumbangan kepada orang Melayu bukan perhimpunan untuk membangkitkan semangat dan kesedaran tentang peristiwa 13 Mei.

“Kita tidak halang sebarang program yang boleh menganjak pemikiran orang Melayu melalui pentas-pentas ilmu dan motivasi yang boleh memberi impak kepada mereka.

“Selain itu, perbincangan yang diadakan perlu mempunyai intipati yang boleh menyumbang kepada masa depan negara, orang Melayu dan bangsa lain.

“Tetapi jika program ini mengenai perbincangan untuk membangkitkan semangat 13 Mei itu yang kita tentang kerana ia boleh beri kesan buruk kepada perpaduan selain bertentangan dengan semangat keharmonian negara,” katanya.

Kira-kira 10,000 orang termasuk anggota 45 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dijangka bakal menyertai program “Melayu Bangkit” untuk membincangkan beberapa isu termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB), Wawasan 2020 dan perancangan ke arah penyatuan orang Melayu secara khusus.

“Tindakan Gertak yang membuat perhimpunan untuk membangkitkan kesedaran orang Melayu dan mengenang peristiwa berdarah 13 Mei adalah tidak relevan dengan semangat yang diamalkan sekarang.

“Kita sudah berada di abad ke-21, itu bukan pemikiran orang sekarang yang sepatutnya lebih bijak berfikir,” kata Salahuddin yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian.

Beliau mengadakan sidang media membantah penganjuran program itu di ibu negara kelmarin.

Dewan Pemuda PAS Terengganu membuat laporan polis semalam berhubung penganjuran program itu.

Dalam pada itu, Presiden MCA Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata keputusan Gertak semalam untuk menangguhkan pertemuan hari ini adalah satu berita baik.

“Kesemua rakyat Malaysia harus sensitif dengan perasaan orang lain.

“Kita mesti sensitif dengan perkara-perkara tertentu… yang mengingatkan kita tentang pengalaman pahit masa lalu, peristiwa hitam 13 Mei,” kata beliau ketika dihubungi.

Kata beliau, mana-mana pertubuhan bukan kerajaan boleh mengadakan pertemuan mereka.

“Kami tiada masalah dengan itu. Kami hanya bimbang dengan program yang berkaitan dengan peristiwa 13 Mei,” katanya.

Setiausaha Agung MIC S. Murugessan memberitahu The Malaysian Insider bahawa pihaknya gembira dengan keputusan menangguhkan pertemuan itu.

“Kami masih mengutuk program itu kerana perkara perbincangan masih sama. Jika mereka mahu bercakap mengenai isu 13 Mei dan mahu mendidik orang ramai, mereka seharusnya bercakap mengenai perpaduan bersama kesemua kaum,” katanya.

“Bagaimanapun buat masa sekarang, kami akan menunggu dan melihat konteks perancangan mereka untuk meneruskan pertemuan itu,” katanya.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: