Sekiranya BN kalah: Ahli Parlimen PJ Utara ugut 13 Mei berulang

Oleh: Faisal Mustaffa (Malaysia Today)

PETALING JAYA 22 Jan – Ahli Parlimen untuk Petaling Jaya Utara (MCA), Datin Paduka Chew Mei Fun digesa untuk segera menarik balik and minta maaf atas kenyataan beliau yang bersifat ugutan atau ancaman.

Akhbar harian China Press bertarikh 21 Januari melaporkan bahawa Chew Mei Fun berkata, “Jika tiada perwakilan Cina yang mencukupi dalam BN, ia bukanlah sesuatu perkara yang baik, komuniti Cina tidak sanggup menanggung lagi satu insiden Mei 13.”

Badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan masyarakat mendapati kenyataan yang dikeluarkan oleh Chew Mei Fun bertujuan menjadi amaran kepada pengundi supaya tidak menyokong parti pembangkang adalah perbuatan keji dan tidak mempamerkan sifat seorang pemimpin yang berwibawa.

Rusuhan kaum Mei 13, 1969 sememangnya suatu episod gelap dalam sejarah Malaysia di mana keganasan dan manipulasi politik telah menindas proses demokratik dan suara para pengundi. Pembangkitan insiden pahit ini demi kepentingan politik bersifat menghina mangsa yang terkorban, mangsa yang terselamat dan juga keluarga mereka.

Justeru, ramai berpendapat bahawa sekiranya beliau mengetahui apa-apa maklumat tentang pihak tertentu yang berhasrat untuk menggunakan keganasan akibat keputusan pilihanraya yang tidak memuaskan, beliau yang selama ini giat membangkit isu keselamatan awam patut serta-merta membuat laporan polis dan membantu dalam penyiasatan polis.

“Tetapi, sekiranya beliau sekadar berspekulasi, kami berasa amat kecewa kerana beliau sanggup melakukan apa saja untuk mengumpan undi,” jelas kenyataan yang ditandatangani oleh pertubuhan tersebut dan orang perseorangan.

Mereka juga berpendapat bahawa ahli politik tidak patut berkelakuan selolah-olah anggota kongsi gelap dan tidak patut menggunakan keganasan sebagai ancaman untuk meraih undi sepertimana anggota kongsi gelap memeras wang.

Pada hakikatnya, Chew telah melanggar Seksyen 9 (1) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 yang menyebut, ” Tiap-tiap orang yang, sebelum, semasa, atau selepas sesuatu pilihan raya, secara langsung atau tidak langsung, dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain bagi pihaknya, menggunakan atau mengancam hendak menggunakan apa-apa kekerasan, keganasan atau halangan, atau yang mengenakan atau mengancam hendak mengenakan, dengan sendirin atau melalui mana-mana orang lain, apa-apa bencana, kecacatan, kerosakan atau kerugian keduniaan atau kerohanian ke atas atau terhadap mana-mana orang bagi mendorong atau memaksa orang itu mengundi atau tidak mengundi, atau oleh sebab orang itu telah mengundi atau tidak mengundi, dalam mana-mana pilihan raya, atau yang dengan melarikan pemilih atau pengundi, dengan dures atau apa-apa tipu daya atau muslihat menghindar atau menahan mana-mana pemilih atau pengundi daripada menjalankan hak mengundinya dengan bebas, atau yang dengan yang dengan itu memaksa, mendorong, atau mendesak mana-mana pemilih atau pengundi sama ada memberi atau tidak memberi undinya dalam mana-mana pilihan raya, atau yang secara langsung atau tidak langsung mengganggu atau cuba mengganggu mana-mana orang daripada menjalankan hak pemilihannya dengan bebas adalah bersalah atas kesalahan pengaruh tak wajar.”

Mereka berharap agar Suruhanjaya Pilihanraya menyiasat dan membuat laporan polis mengenai kes ini. Namun, semantara itu, pertubuhan-pertubuhan itu menyeru Chew supaya menarik balik kenyataan beliau dan memohon maaf.

Badan-badan tersebut juga menyeru kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Badawi untuk menafikan sebarang kaitan antara kerajaan dan partinya dengan kenyataan Chew yang berpotensi menakutkan pengundi.

Berita ini dipetik dari Malaysia-Today http://www.malaysia-today.net/2008/content/view/1607/46/.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: